Ahad, 18 Februari 2018

HAKAM

Ramai mengetahui bahawa kuasa talak di tangan suami. Ada 3 jenis talak yang selama ini diketahui umum iaitu talak soreh, talak kinayah, dan talak taklik.
Namun begitu, isteri juga boleh menuntut perceraian daripada suami iaitu sama ada secara khuluk (tebus talak), fasakh dan taklik.
Sebenarnya ada satu lagi kaedah oleh isteri yang jarang diketahui iaitu Hakam.

#1 – Bagaimanakah Hakam berlaku?

Apabila suami tidak mahu menceraikan isteri, mahkamah akan melantik suatu jawatankuasa pendamai. Jawatankuasa pendamai ini terdiri daripada seorang pegawai agama, seorang wakil suami, dan seorang wakil isteri.
Keutamaan diberikan kepada saudara atau ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Penubuhan jawatankuasa pendamai ini adalah untuk mencapai perdamaian di antara suami dan isteri. Mereka diberi tempoh selama enam bulan dari tarikh jawatankuasa dibentuk. Oleh itu, dalam tempoh tersebut, suami dan isteri diberi peluang untuk memberikan pendapat termasuk memanggil wakil untuk siasatan dan pandangan.
Namun begitu, tempoh 6 bulan tersebut juga boleh menjadi lebih lama jika mahkamah memutuskan adanya keperluan untuk melanjutkan tempoh perdamaian.
Jika selepas tempoh perdamaian itu, suami dan isteri bersetuju untuk berdamai, maka permohonan perceraian boleh ditarik balik. Tapi, jika suami dan isteri enggan berdamai atau suami tidak mahu melafazkan cerai, maka kes akan dirujuk kepada hakam.

#2 – Siapakah Hakam?
Sebelum itu, kita perlu tahu apa maksud ‘hakam’. Hakam ertinya seorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (syiqaq) antara suami dan isteri.
Hakam diperuntukkan di bawah Seksyen 47(14) dan Seksyen 48 di bawah akta yang sama.
Hakam terdiri daripada saudara karib suami dan isteri yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pihak suami dan pihak isteri.
Hakam mestilah lelaki beragama Islam, berakal, mukalaf, adil dan amanah, serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.
Hakam dilantik apabila mahkamah berpuas hati, perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku dalam tempoh perkahwinan walaupun selepas usaha perdamaian dilakukan pada peringkat jawatankuasa pendamai.
Pemilihan Hakam adalah penting. Sebagai contoh, Hakam mestilah tidak bersifat berat sebelah dan tidak mempunyai kepentingan peribadi. Oleh itu, Hakam mestilah seorang yang jujur, adil, bersabar, dan berusaha untuk menyelesaikan pertelingkahan suami dan isteri.
Jika suami dan isteri gagal mengemukakan Hakam masing-masing, Mahkamah akan melantik seorang Hakam dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana Pegawai Syariah atau Pegawai Hal Ehwal Islam atau Pegawai Majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan Hukum Syarak.
#3 – Apakah Fungsi Hakam?
Fungsi Hakam adalah untuk menamatkan perkelahian antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk.
Hakam mesti mempunyai kuasa penuh daripada prinsipal di mana Hakam juga boleh melafazkan talak atau khuluk di hadapan Mahkamah bagi pihak suami.
Hakam bagi isteri pula mempunyai kuasa untuk menerima lafaz khuluk di hadapan Mahkamh.
Namun, jika hakam berpendapat pasangan itu patut bercerai tapi tidak dapat memerintahkan perceraian atas sebab lain seperti Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal atau menarik diri, maka Mahkamah boleh melantik Hakam yang lain untuk proses yang sama.
Jika Hakam suami enggan melafazakan cerai dan meminta perceraian secara tebus talak dan Hakam isteri bersetuju, mahkamah boleh mengarahkan perceraian secara tebus talak.
Prosiding tidak diteruskan jika pihak suami gagal menghadirkan diri ke mahkamah dan tidak melantik Hakam. Pada masa itu, perceraian akan diteruskan melalui proses fasakh atau taklik.

#4 – Berapa Lamakah Prosiding Hakam?
Prosiding hakam mengambil masa lebih kurang enam bulan hingga setahun dengan syarat kedua-dua pihak memberikan kerjasama yang baik.

#5 – Bagaimanakah Prosiding Hakam?
Prosiding hakam hendaklah dimulakan dengan tuntutan perceraian oleh isteri mengikut Seksyen 47, Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri. Penulisan ini merujuk kepada Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor disebabkan wujudnya satu prosedur khusus iaitu Kaedah-kaedah Hakam 2014.
Kaedah yang pertama di Malaysia itu berkemungkinan besar akan diikuti oleh negeri-negeri lain disebabkan keberkesanannya menyelesaikan lambakan kes-kes perceraian pada masa ini.
•           Selepas tuntutan Seksyen 47 difailkan, suami dan isteri akan hadir ke mahkamah.
•           Pendirian isteri diperoleh, adakah tetap ingin bercerai atau sebaliknya termasuk suaminya.
•           Jika suami enggan menceraikan isterinya dengan alasan tiada sebab untuk bercerai.
•           Mahkamah akan meletakkan pasangan ini bawah Jawatankuasa Pendamai.
•           Isteri dan suami diwajibkan menghantar wakil bagi mencari jalan penyelesaian.
•           Hasil perbincangan dilaporkan kepada mahkamah syariah dengan menyatakan wujud syiqaq (perkelahian) antara suami dan isteri.
•           Mahkamah akan menasihati suami untuk menyatakan pendiriannya sama ada menceraikan isterinya secara baik atau sebaliknya.
Seksyen 47 (14) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 menyatakan:
Jika jawatankuasa
mengemukakan perakuan kepada mahkamah bahawa tidak dapat mencapai perdamaian, maka mahkamah hendaklah menasihatkan suami agar melafazkan satu talak di mahkamah.
Jika:
Suami tidak hadir di mahkamah atau enggan melafazkan satu talak, maka mahkamah hendaklah merujuk kes itu kepada hakam untuk tindakan menurut Seksyen 48.
Pada peringkat ini, hakam mengambil alih tugas seterusnya melalui dua peringkat:
Peringkat pertama daripada kalangan wakil suami isteri
•           Hakam ini tidak mempunyai kuasa menceraikan pasangan, sekadar memberi kata putus berkenaan keadaan rumah tangga pasangan.
Peringkat kedua, hakam dilantik oleh mahkamah syariah dengan kuasa untuk menceraikan.
•           Suami langsung tidak mempunyai kuasa menghalang perceraian itu dan ia sah di sisi hukum syarak serta undang-undang.
Seksyen 3(4)(e) menyatakan:
•           Hakam juga boleh menceraikan isteri jika meninggalkan rumah kelamin dengan sengaja tanpa izin suami.
•           Alasan isteri ingin tinggal bersama keluarganya, kawan-kawan atau sebagainya juga boleh menyebabkan mahkamah menyatakan pasangan ini telah syiqaq dan hakam berkuasa untuk menceraikannya.
•           Salah seorang meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua pihak di hadapan mahkamah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan