Selasa, 26 September 2017

Hak-hak wanita yang wanita perlu tahu

ditulis pada 27hb September 2017


Penceraian Adalah Kuasa Wanita, Satu Bukti Islam Tidak Menzalimi Wanita: Analisa Permasalahan Soalan Berkaitan Rumahtangga
Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi (PU RAZI)* Peguam Syarie

Islam tidak pernah mendskriminasi wanita. Malah kedatangan Islam mengangkat darjat wanita yang mana wanita hanya dijadikan objek seks dan barang perdagangan semasa sebelum ketibaan Islam yang dikenali pada zaman arab jahiliyyah sekitar 1400 tahun yang lalu. Bahkan banyak hadith-hadith nabi SAW yang memperjelaskan tentang keberuntungan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu berbanding kaum lelaki yang berat di atas bahunya persoalan tentang tanggungjawab. Bahkan Islam menjelaskan juga amaran dahsyat suami yang menzalimi isterinya, dengan tiada memberi nafkah mahupun memukul isterinya dan digelar dayus dalam Islam dengan diharamkan syurga buat suami yang berperangai keji seperti itu.

Penulisan ini merujuk kepada soalan daripada kajian kes sebenar iaitu Pn. Aida yang ingin bercerai dan bertanyakan apakah saluran untuk dia memohon penceraian daripada mahkamah. Puan Aida bebruat demikian juga disebabkan pihak suami ada berkahwin lain bahkan ada isu tentang nafkah anak-anak yang mana suami Puan Aida, iaitu Azwan menganggap duit gaji Puan Aida bekerja bersama dengan syarikat suaminya Azwan adalah termasuk dalam nafkah juga. Malah Puan Aida bertanyakan perkara-perkara berbangkit sebaik sahaja berlaku penceraian seperti Harta Sepencarian. Kes ini dikupas dalam bentuk penceritaan dan jawapan umum. Berdasarkan kes yang berlaku kepada Pn. Aida, samada beliau mempunyai locus standi dalam kesemua alasan yang diberikan untuk bercerai dengan suaminya akan dikupas satu persatu.

ISU:
PENCERAIAN
POLIGAMI
NAFKAH ISTERI
NAFKAH ANAK-ANAK
HARTA SEPENCARIAN


Menurut pandangan Islam, terdapat 3 saluran yang dibenarkan bagi seorang wanita memohon cerai daripada suaminya walaupun dengan alasan yang tidak munasabah, iaitu melalui jalan fasakh, khulu’ dan juga ta’liq. Maka keadilan Islam itu tidak hanya memberikan kuasa talaq kepada lelaki bahkan juga kepada isteri. Bahkan, pihak isteri boleh memfailkan permohonan cerai dengan persetujuan bersama melalui Seksyen 47 di Mahkamah dan akan melalui proses hakam jika hal tersebut tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.

KEYNOTES:
FASAKH
KHULU’
TA’LIQ
SEKSYEN 47

Dalam situasi ini, Pn. Aida memberikan alasan ingin bercerai kerana suaminya Azwan telah berkahwin lain tanpa kebenaran dan telah jarang pulang sekaligus telah lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, serta beliau juga mendakwa bahawa suaminya telah tidak memberikan nafkah selama setahun dan juga mahu menuntut harta serta bahagian saham daripada perniagaannya bersama dengan suaminya.

Pertama, Pn. Aida masih boleh terus memenuhi keinginannya untuk bercerai dengan menggunakan alasan cerai secara ta’liq mengikut seksyen 50(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 di mana seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menuut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas perkahwinan, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

Di Malaysia, perceraian ta’liq boleh dipohon selari dengan perjanjian yang dibuat selepas majlis akad yang tertera di surat perakuan ta’liq  dengan lafaz perjanjian sekiranya pihak suami meninggalkan isteri atau tidak memberikan nafkah selama tempoh empat bulan atau lebih, atau mencederakan atau menyakiti badan isteri dan isteri tersebut membuat pengaduan di Mahkamah dan selepas membuat siasatan terhadap aduan dan selepas membayar RM1 maka jatuhlah satu talaq.

KEYNOTES:
SELEPAS LAFAZ IJAB DAN QABUL SEMASA AKAD NIKAH, SUAMI AKAN MEMBACAKAN LAFAZ TA’LIQ SEBAGAI IQRAR JIKA DILANGGAR OLEH SUAMI MANA_MANA TERMA DALAM TA’LIQ MAKA ISTERI BERHAK MENDAPATKAN PENCERAIAN SELEPAS DIADUKAN DI MAHKAMAH


Kedua, Pn. Aida juga boleh memohon perceraian daripada suami atas kapasiti permohonan cerai melalui fasakh sebagaimana dalam peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mana fasakh ialah pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Skop permohonan pembubaran perkahwinan berdasarkan kapasiti ini adalah lebih luas, contohnya Pn. Aida boleh memohon mengikut peruntukan seksyen 53(b) iaitu, bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan. Ini selaras dengan dalil al-Quran dalam surah an-Nisa’ ayat 128:

… “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi Yang ada pada manusia. dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka Sesungguhnya Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan”…

KEYNOTES:
PERMOHONAN FASAKH DI MAHKAMAH ADALAH MEMAKANTEMPOH YANG AGAK LAMA, NAMUN SEMUA ALASAN FASAKH YANG DIKEMUKAN LEBIH TELUS DAN ADIL KEPADA SEMUA PIHAK DALAM MEMBUKTIKAN HAL YANG SEBENAR.

Dalam masalah ini juga, Pn. Aida telah mendakwa suaminya tidak memberikan nafkah kepada beliau dan anak-anak selama setahun dan juga telah dibalas oleh suaminya melalui surat dengan mendakwa bahawa Azwan telah membayar kepada Aida RM3000 sebulan sebagai gaji pengurus kedai dobi dan mendakwa itulah nafkah untuk mereka. Dakwaan Azwan gaji tersebut adalah nafkah adalah disangkal sama sekali berdasarkan hukum syarak dengan dalil al-Quran dalam surah at-Talaq ayat 7 iaitu,

… “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”…

Merujuk kepada perkataan nafkah itu sendiri adalah perkataan Arab yang berasal daripada infaq yang bermak untuk mengambil dan ia digunakan untu tujuan yang baik sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Mughni Muhtaj ‘Ila Makrifat Ma’ani al-Faz al-Minhaj. Bahkan secara umumnya nafkah ialah perbelanjaan seorang suami kepada keluarganya samada dalam bentuk makanan, pakaian, rumah kediaman dan juga perbelanjaan lain termasuklah perubatan dan keperluan lain, sebagaimana dirujuk kepada kitab karangan Ibn Abidin.

Ini bermaksud, nafkah adalah berbeza dengan gaji isteri walaupun Azwan tadi mendakwa itu adalah nafkah kerana Pn. Aida memperoleh gaji tersebut hasil daripada usahanya bekerja sebagai pengurus di kedai dobi tersebut dan bukan lah nafkah hasil pemberian Azwan keran hak tersebut adalah mutlak kepada Pn. Aida. Di dalam Islam, tanggungjawab menyara keluarga adalah tertanggung kepada suami walaupun isteri teadi bekerja dan isteri berhak mendapatkan nafkah selagi mana beliau tidak nusyuz kepada suaminya mengikut tafsiran syarak.

KEYNOTES:
SEBAIKNYA SUAMI MENYEDIAKAN MAKAN MINUM, TEMPAT KEDIAMAN DAN PAKAIAN SEBAGAI NAFKAH UTAMA MENGIKUT KEMAMPUAN SUAMI. IZIN KEPADA ISTERI UNTUK BEKERJA BAGI MEMBANTU SUAMI BUKANLAH ALASAN UNTUK TIDAK BERI NAFKAH.


Seterusnya, dalam menjawab surat Azwan berkaitan sebab beliau berpoligami dengan menyalahkan Pn. Aida untuk tinggal bersamanya adalah tidak masuk akal kerana keputusan yang dibuat seolah-olah mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan tentang anak-anak, bahkan perasaan Pn. Aida yang sedang disakiti secara emosi adalah bertepatan dengan pemakaian peruntukan seksyen 53(i) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Peruntukan ini sesuai memandangkan perkahwinan tersebut adalah tidak dipersetujui oleh Pn. Aida dan secara berterusan dianiya dari sudut emosi dan ketenangan fikiran, maka kapasiti pembubaran melalui fasakh juga adalah jalan terbaik untuk Pn. Aida menyelesaikan masalah ini.

KEYNOTES:
SUAMI TIDAK ADA HAK MEMAKSA ISTERI TINGGAL BERSAMA MADUNYA DALAM SATU RUMAH MELAINKAN ATAS PESETUJUAN ISTERI YANG TERDAHULU

Tambahan lagi, samada Pn. Aida ingin membuat laporan kepada Mahkamah kerana tindakan suaminya yang berkahwin lain tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 23(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mewajibkan seseorang yang mahu berpolgami perlulah mendapatkan keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Bahkan, Azwan juga boleh didakwa di bawah seksyen 124 jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi menjawab dakwaan Aida yang menuntut hak harta dan saham perkongsian perniagaan kedai dobinya bersama Azwan adalah dibenarkan dalam peruntukan undang-undang walaupun semasa dalam tempoh perkahwinan. Seksyen 122 Enakmen Undnag-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.


Merujuk kepada beberapa pendapat ulama’ Islam seperti dalam kitab Al-Umm oleh Imam Shafi’i, Bughatul Mustarshidin, lanat Talibin, Kitab al-Bajuri, Kita al-Muhazzab dan Bulugh ul-Maram, Lembaga Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan mendapati sokongan bagi kaedah mengenai harta sepencarian dalam kes  Mansur lwn. Kamariah (1988) 6 JH 289 menyatakan bahawa jika harta-harta pihak suami dan isteri telah bercampur (musha), dan mereka tidak dapat mencapai persetujuan mengenai pembahagiannya, maka kedua-dua mereka hendaklah mengangkat sumpah dan harta-harta itu akan dibahagikan sama banyak di antara mereka. Lembaga Rayuan memerhatikan bahawa walaupun ulama’ itu mungkin menumpukan perhatian mereka kepada kes musha, prinsip-prinsip itu boleh juga diperluaskan kepada kes harta sepencarian. Lembaga Rayuan juga merujuk kepada Kitab Qurratul’ain dan qaul Mazhab Hanafi yang meluluskan syarikat al-abdan (perkongsian) secara mutlak tanpa syarat persamaan di dalam jenis pekerjaan pihak-pihak itu untuk setiap pihak mendapat bayaran yang munasabah bagi usaha yang dilakukan. Ini bermaksud, Pn. Aida berhak memohon harta daripada bahagiannya dengan menolak dakwaan Azwan bahawa Pn. Aida tidak layak menuntut harta tersebut kerana mereka masih lagi suami isteri.

KEYNOTES:
HARTA SEPENCARIAN ADALAH APA-APA HARTA YANG DIPEROLEHI SEMASA TEMPOH PERKAHWINAN


Kesimpulan berdasarkan kes ini, Pn. Aida bukan sahaja dilindungi oleh hukum syarak bahkan juga peruntukan undang-undang bagi menjaga hak sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Berbalik kepada keinginannya untuk bercerai, Pn. Aida memiliki 3 pilihan dalam membubarkan perkahwinannya melalui kuasa mahkamah berdasarkan kesanggupan dan kesesuaian hujah Pn. Aida dengan memohon kepada Mahkamah di mana Pn. Aida bermastautin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan