Isnin, 5 Mei 2014

Wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) 2014


KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan supaya memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pentadbiran harta membabitkan orang Islam agar masalah itu dapat diselesaikan secara holistik.
  
Presidennya Musa Awang berkata sehingga hari ini kes melibatkan pentadbiran harta orang Islam seperti pindah milik harta, tuntutan wasiat, faraid dan juga hibah (pemberian harta kepada orang lain semasa pemilik hidup) masih diputuskan oleh Mahkamah Sivil yang kadang kala mengambil masa yang lama.
  
Musa berkata amalan sekarang apabila permohonan pentadbiran harta dibuat di Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi Sivil selepas kematian pemiliknya, sijil Faraid diperlukan untuk menyokong permohonan itu dan waris-waris perlu membuat permohonan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan sijil itu.

Beliau berkata ini bermakna orang Islam terpaksa menghadiri dua perbicaraan di tempat yang berlainan bagi menyelesaikan pentadbiran harta berbanding orang bukan Islam dan ia akan memakan masa.
  
"Ada sesetengah kes (pentadbiran harta) mengambil masa 10 tahun untuk diselesaikan di Mahkamah Sivil. Sekiranya proses kes itu melibatkan satu mahkamah sahaja iaitu Mahkamah Syariah, ia akan menjimatkan masa dan cepat diselesaikan mungkin antara dua hingga tiga tahun," katanya dalam sidang media di Mahkamah Syariah di Jalan Duta, di sini hari ini.
  
Musa berkata sehubungan itu, PGSM akan mengadakan Konvensyen Peguam Syarie kali ke-3 pada 18 April ini bagi membincangkan beberapa masalah berkaitan pentadbiran harta orang Islam.
  
Musa berkata konvensyen itu dengan tema bertajuk "Perluasan Bidang kuasa Mahkamah Syariah Terhadap Pentadbiran Harta Orang Islam" akan mengumpulkan peguam-peguam syarie dari seluruh negara bagi mendapat kata sepakat dan sepadu bagi mendesak Kerajaan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pentadbiran harta orang Islam.
  
Beliau berkata PGSM juga boleh membantu memberikan idea dan pandangan kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan peruntukan undang-undang sedia ada yang memerlukan pindaan, tambahan, pemansuhan atau mencadangkan undang-undang baharu bagi menjamin kesejahteraan umat Islam.

Ini kerana, Musa berkata apabila berlaku kematian, waris mungkin keliru atau tidak tahu di mana harta pusaka si mati boleh diselesaikan sama ada di Amanah Raya Berhad atau Unit Pembahagian Pusaka, Mahkamah Syariah atau Mahkamah Tinggi Sivil.
  
"Jika institusi berlainan yang menguruskan pembahagian harta pusaka, ini akan menimbulkan kecelaruan dan kesukaran kepada waris-waris yang beragama Islam," katanya.
  
Musa menjelaskan pada masa kini, permohonan untuk Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka orang yang meninggal dunia sama ada orang Islam atau bukan Islam dibuat di Mahkamah Sivil.
  
Beliau menegaskan di dalam statut undang-undang Syariah tiada peruntukan khusus berkenaan tatacara permohonan Surat Kuasa Mentadbir.
  
Bagaimanapun beliau berkata di Sabah, terdapat peruntukan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan surat mentadbir.
  
"Kenapa peruntukan seperti di Sabah ini tidak dimasukkan juga ke statut undang-undang negeri lain, supaya masalah umat Islam dapat diselesaikan secara holistik," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan